.

14 October 2008

Bank Negara Serbu Empat Syarikat Disyaki Terlibat Dalam Kegiatan Pengambilan Deposit Haram

0
Tuesday, October 14, 2008

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Bank Negara Malaysia menyerbu empat syarikat hari ini yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengambilan deposit secara haram dan pengubahan wang haram.

Dalam satu kenyataan hari ini, Bank Negara berkata empat syarikat itu ialah Buluhmas Enterprise Sdn Bhd, Jazmeen (M) Sdn Bhd, Noradz Travel and Services Sdn Bhd dan Eastana Farm Industries Sdn Bhd, yang beroperasi di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.

Aset-aset dan dokumen bekaitan syarikat itu dirampas untuk tujuan penyiasatan.

Serbuan itu dibuat berikutan aduan orang ramai.

Bank Negara akan menjalankan siasatan ke atas operator syarikat terbabit mengikut Seksyen 25(1) Akta Institusi Kewangan dan Perbankan (BAFIA) 1989 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

Jika sabit kesalahan, operator skim berkenaan boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak lebih RM10 juta atau kedua-duanya mengikut BAFIA.

Denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya pula boleh dikenakan ke atas pesalah mengikut Seksyen 4(1) AMLATFA 2001.

Bank Negara menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan skim pelaburan wang yang dianjurkan menerusi Internet, panggilan telefon atau seminar yang dianjurkan oleh individu atau syarikat yang tidak berlesen atau dibenarkan oleh Bank Negara untuk menerima deposit atau menjalankan urus niaga tukaran asing.

Senarai semua institusi berlesen yang menerima deposit boleh didapati di laman web Bank Negara Malaysia di www.bnm.gov.my.

-- BERNAMA

About the author

Aku Khairul Amran. Irul, Itu nama yang orang panggil aku sejak Aku kecik lagi. Dah besar ni orang suka-suka je panggil Amran..

0 comments: