.

31 July 2008

Atasi 'diskriminasi' guru lulusan IPTA

0
Thursday, July 31, 2008

SERDANG 29 Julai (Utusan Malaysia Online)- Kerajaan akan berusaha mengatasi masalah 'diskriminasi' yang dialami guru lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang dibebankan dengan pelbagai syarat ketat sebelum dibenarkan mengajar di sekolah.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara syarat itu ialah mesti lulus dengan purata gred kumulatif (CGPA) minimum 2.75 sebelum layak mengambil ujian dan ditemuduga untuk jawatan guru.

"Syarat ini yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran perlu dikaji semula memandangkan guru-guru lepasan Institut Pendidikan Guru (IPG) tidak perlu mematuhinya sebaliknya terus di tempatkan di sekolah.

"Perkara ini seolah-olah menafikan pendidikan dan latihan yang diberikan pensyarah di IPTA dan mengurangkan minat graduan untuk menjadi guru," katanya dalam ucapan perasmian Program Sekolah Kluster-Universiti dan Seminar Permuafakatan Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran Tahun 2008 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Datuk Idris Haron.

IPG kini melatih guru untuk peringkat prasekolah dan sekolah rendah manakala IPTA memberikan fokus untuk melahirkan tenaga pengajar di sekolah menengah, kolej matrikulasi, kolej komuniti dan politeknik.

KualitiMohamed Khaled yang berharap masalah itu diselesaikan menerusi seminar permuafakatan itu berkata, isu lain yang perlu diatasi ialah berkaitan sebilangan kecil pelajar perguruan di IPTA yang mendapat pembiayaan Kementerian Pelajaran berbanding pelajar di IPG yang semuanya diberikan pembiayaan.

"Kualiti pelajar yang memohon program perguruan juga perlu dilihat semula oleh kedua-dua kementerian kerana berlaku ketidakseragaman syarat asas kemasukan.

"Syarat kemasukan di IPG ialah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala ke IPTA pula Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau matrikulasi," jelasnya.

Sementara itu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam ucapan yang dibacakan oleh Timbalannya, Dr. Wee Ka Siong berkata, sebanyak 60 sekolah kluster akan dijadikan sekolah angkat kepada IPTA menerusi Program Sekolah Kluster-Universiti.

Beliau berkata, langkah itu akan membolehkan IPTA berperanan sebagai mentor kepada pihak sekolah yang akan dibenarkan menggunakan kemudahan di universiti bagi melakukan penyelidikan dan pengkomersialan ciptaan baru.

"Sekolah angkat ini akan berpeluang menggunakan perpustakaan dan juga terlibat dalam program akademik dan kemasyarakatan anjuran IPTA.

"Sekolah juga akan dapat menggunakan gimnasium, kolam renang dan mendapatkan nasihat pakar pemakanan dan pensyarah sukan yang berkelayakan tinggi di universiti," jelasnya.

-------------------------------------------------------------------------------------------
Kesudahan yang tak pasti!!!!
Bercakaranlah antara Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran.
Siapa yang akan rugi?
Pasti anak bangsa yang akan terima nasibnya....
Rakyat teraniaya.......

About the author

Aku Khairul Amran. Irul, Itu nama yang orang panggil aku sejak Aku kecik lagi. Dah besar ni orang suka-suka je panggil Amran..

0 comments: