.

29 May 2008

Dasar Kebudayaan Kebangsaan.. (Kajilah)

0
Thursday, May 29, 2008
Latarbelakang

    Kebudayaan  merupakan  keseluruhan  cara  hidup  manusia. Ia
    berperanan  penting  dalam  proses  pembangunan  negara   di
    Malaysia  di  mana keperibadian Malaysia harus dipupuk dalam
    usaha-usaha yang dijalankan ke arah meningkatkan pembangunan
    sosioekonomi dan  politik.  Ini  sudah  tentunya  memerlukan
    penggemblengan  dan  penglibatan  semua  lapisan  masyarakat
    dalam satu proses yang berterusan.

    Bagi sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang  kaum
    seperti  di Malaysia, proses pembentukan kebudayaan nasional
    memerlukan perancangan yang teliti  dan  rapi  supaya  dapat
    melahirkan    cara   hidup   yang   bersifat   keMalaysiaan.
    Perancangan kebudayaan ini harus menentukan sifat-sifat yang
    baik, mulia dan utama bagi pembinaan  bangsa  dan  ketahanan
    negara.

Rasional

    Penggubalan  Dasar Kebudayaan Kebangsaan adalah penting bagi
    sesebuah  negara  membangun  dan  yang  mempunyai   penduduk
    berbilang  kaum seperti Malaysia. Dasar ini nanti akan dapat
    menjadi  Garis  panduan   dalam   membentuk,   newujud   dan
    mengekalkan identiti negara di kalangan dunia antarabangsa.
    Penggubalan  dasar  ini perlu dibuat dengan mempertimbangkan
    fakta-fakta  perkembangan  sejarah  serantau  dan  kedudukan
    negara  ini  sebagai pusat pertemuan serta pusat tamadun dan
    perdagangan sejak dua ribu  tahun  yang  lampau.  Peranannya
    sebagai  sebuah  pusat  pertemuan,  telah  melahirkan proses
    interaksi, pengenalan, penyerapan  dan  penerimaan  pelbagai
    unsur-unsur  yang  sesuai  kepada kebudayaan asas rantau ini
    dari pelbagai unsur-unsur kebudayaan dunia.

    Dengan yang aemikian, sebagai satu proses  yang  berterusan,
    penwujudan   Kebudayaan   Kebangsaan   Malaysia  akan  terus
    berlandaskan unsur-unsur dan tiga  prinsip  yang  ditetapkan
    oleh  Kerajaan  sebagai  Dasar  Kebudayaan Kebangsaan iaitu:

    (i) Berteraskan kepada Kebudayaan  Rakyat  Asal  Rantau  ini
    Rantau  ini  yang  merangkumi  kawasan  Malaysia, Indonesia,
    Filipina, Singapura, Brunei, Thailand  dan  Kampuchea  serta
    Kepulauan Selatan Pasifik (Polynesia, Melanesia dan Oceania)
    sehingga  Malagasi  adalah  merupakan  bahagian  utama  dari
    kawasan tamadun atau budaya Melayu.   Rantau  ini  merupakan
    pusat pemancaran, pengembangan dan warisan Kebudayaan Melayu
    sejak zaman berzaman dan ditandai pula oleh kegemilangan dan
    keagungan  tamadun  Melayu  yang  berpusat  di  Melaka  yang
    menggunakan  Bahasa  Melayu   sebagai   bahasa   perhubungan
    antarabangsa   (linguafranca).   Kebudayaan   serantau   ini
    digambarkan oleh persamaan-persamaan di bidang  bahasa  yang
    berasaskan  keluarga  bahasa Melayu - Austronesia, kedudukan
    geografi, pengalaman sejarah, kekayaan  alam,  kesenian  dan
    nilai-nilai  keperibadiannya.    Budaya Melayu pada hari ini
    merupakan cara  hidup,  lambang  identiti  dan  asas  ukuran
    keperibadian   kepada  lebih  200  juta  umat  manusia  yang
    menuturkan  satu  rumpun  bahasa  yang  sama.  Dengan   yang
    demikian, kebudayaan rakyat asal rantau ini dalam pengertian
    sempit  atau  luasnya  kebudayaan   Melayu  telah  dijadikan
    teras kepada Kebudayaan Kebangsaan.

    (ii) Unsur-unsur Kebudayaan Lain Yang Sesuai dan Wajar boleh
    diterima Kebudayaan sebagai sesuatu yang dinamik,   sentiasa
    berubah-ubah   melalui  proses  penyerapan  dan  penyesuaian
    secara berterusan.   Prinsip ini bertepatan  dengan  situasi
    penduduk  berbilang  kaum  yang  mewarisi  pelbagai  budaya.
    Dengan itu unsur-unsur budaya Cina, India  Arab,  Barat  dan
    lain-lain  yang  sesuai  dan  wajar  diberi  penimbangan dan
    penerimaan   dalam   pembentukan   Kebudayaan    Kebangsaan.
    Kesesuaian penerimaan dalam penyerapan ini adalah bergantung
    kepada  tidak  wujudnya percanggahan dengan Perlembagaan dan
    prinsip-prinsip Rukun Negara dan kepentlngan nasional  serta
    asas-asas  moral  dan kerohanian sejagat pada amnya dan pada
    Islam sebagai agama rasmi negara khasnya.

    (iii) Islam Menjadi Unsur  Yang  Penting  Dalam  Pembentukan
    Kebudayaan  Kebangsaan
    Agama  atau kepercayaan kepada Tuhan merupakan unsur penting
    dalam proses pembangunan  negara  serta  pembentukan  rakyat
    yang berakhlak dan berperibadi  mulia.  Agama Islam  memberi
    panduan kepada  manusia dalam mengimbang dan memadukan usaha
    bagi mengisi kehendak-kehendak emosi dan fizikal dan  kerana
    itu patut  menjadi  unsur  yang  penting  dalam  pembentukan
    Kebudayaan  Kebangsaan  memandangkan   kedudukannya  sebagai
    agama rasmi negara, di samping telah wujudnya  fakta sejarah
    dan  nilai-nilai  Islam  yang  telah  sedia  didukung   oleh
    sebahagian   besar  rakyat  rantau ini.  Ketiga-tiga prinsip
    asas di atas adalah melambangkan penerimaan gagasan  Kongres
    Kebudayaan Kebangsaan 1971.

Objektif

    Pembangunan  Kebudayaan  Kebangsaan  bagi negara-negara yang
    baru merdeka amatlah penting untuk mewujudkan sebuah  negara
    yang   stabil   dan   bersatupadu.   Dengan   yang  demikian
    usaha-usaha  pembentukan  Kebudayaan   Kebangsaan   Malaysia
    adalah bertujuan untuk mencapai tiga objektif penting iaitu:

     (i) Mengukuhkan perpaduan bangsa dan negara melalui
          Kebudayaan;
    (ii) Memupuk dan memelihara keperibadian  kebangsaan
          yang tumbuh daripada Kebudayaan Kebangsaan; dan
    (iii)Memperkayakan  dan   mempertingkatkan   kualiti
          kehidupan  kemanusiaan   dan   kerohanian  yang
          seimbang dengan pembangunan sosioekonomi.

    Strategi dan Pelaksanaan Objektif dasar ini
    boleh dicapai melalui strategi-strategi berikut:

     (i) Pemulihan,    pemeliharaan    dan   pembangunan
          kebudayaan    ke  arah   menguatkan   asas-asas
          Kebudayaan   Kebangsaan   melalui     usahasama
          penyelidikan,      pembangunan,     pendidikan,
          pengembangan dan perhubungan budaya;
    (ii) Meningkat  dan  mengukuhkan  kepimpinan  budaya
          melalui   usaha-usaha  membimbing  dan  melatih
          peminat,  mendokong  dan  menggerak  kebudayaan
          seluas-luasnya sebagai jentera pembangunan yang
          berkesan;
    (iii)Mewujudkan   komunikasi   yang  berkesan kearah
          kesedaran     kebangsaan,     kenegaraan    dan
          nasionalisme Malaysia;
    (iv) Memenuhi keperluan sosiobudaya; dan
    (v)  Meninggikan taraf dan mutu kesenian.

    Di samping Kementerian Kebudayaan Kesenian dan  Pelancongan,
    penglibatan pihak lain juga adalah penting dalam pelaksanaan
    dasar  ini.  Mereka termasuklah  Kementerian-kementerian dan
    Jabatan-jabatan  Kerajaan  Pusat, Kerajaan-kerajaan  Negeri,
    badan-badan berkanun  dan  pihak  swasta  serta  pertubuhan-
    pertubuhan kebudayaan.

    Peranan  Kementerian  Kebudayaan  Kesenian  dan  Pelancongan
    dalam  pelaksanaan  matlamat  dan  strategi dasar ini adalah
    penting.   Antara   lain   Kementerian    ini    menguruskan
    penyelidikan,  pembangunan  dan  penggalakan, pendidikan dan
    pengembangan  kesenian  dan  perhubungan  ke  arah  kemajuan
    kebudayaan   kebangsaan.  Usaha-usaha  itu  dicapai  melalui
    aktiviti-aktiviti   pembangunan,   persembahan   seni   oleh
    Kompleks   Budaya  Negara  sebagai  pengelola  dan  urusetia
    perhubungan  kebudayaan  antarabangsa,   Majlis   Kebudayaan
    Negeri,      khidmat      nasihat      bagi      mengukuhkan
    pertubuhan-pertubuhan  kebudayaan   dan   kerjasama   dengan
    badan-badan antarabangsa.

    Peranan  Kementerian/Jabatan,  Kerajaan-kerajaan  Negeri dan
    badan-badan berkanun yang lain  adalah  sama  penting  dalam
    melaksanakan  strategi  dasar ini di dalam pengurusan harian
    dan pelaksanaan dasar-dasar semasa. Peranan pihak swasta dan
    pertubuhan-pertubuhan kebudayaan  kian  diperlukan  di  mana
    badan-badan  ini  boleh  memainkan peranan menjalankan usaha
    pembinaan dan kemajuan kebudayaan  di  peringkat  organisasi
    masing-masing dan seterusnya membiayai penajaan program atau
    projek-projek kebudayaan.

Penutup

    Penggubalan  dan  pelaksanaan  Dasar  Kebudayaan  Kebangsaan
    adalah  perlu bagi negara Malaysia yang sedang membangun dan
    yang mempunyai  penduduk  berbilang  kaum  yang  mengamalkan
    budaya  yang  berbeza. Dasar ini dapat menjadi garis panduan
    dalam  membentuk   serta   mewujudkan   satu   bangsa   yang
    bersatu-padu  serta  mengekalkan identiti negara di kalangan
    dunia antarabangsa.  Namun  demikian  pelaksanaannya  adalah
    rumit  dan  tidak  dapat  dicapai  dalam  masa yang singkat.
    Kesedaran  dan  kefahaman  yang  luas  akan  dapat  membantu
    tercapainya  hasrat  dan  cita-cita  pelaksanaan  dasar  ini
    kerana dengan keinsafan  itu  sahaja  Kebudayaan  Kebangsaan
    akan   dapat   dibezakan  dengan  kebudayaan  kesukuan  atau
    kebudayaan kaum. Kebudayaan yang dipupuk itu akan mencirikan
    sifat-sifat persamaan yang melampaui batas-batas  suku  kaum
    dan  memperlihatkan  keperibadian  kcbangsaan  Malaysia  itu
    sendiri sebagai sebuah negara yang merdeka dan bermaruah.


Sumber : Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan

About the author

Aku Khairul Amran. Irul, Itu nama yang orang panggil aku sejak Aku kecik lagi. Dah besar ni orang suka-suka je panggil Amran..

0 comments: