.

12 February 2008

Percutian boleh menambahkan stres?

0
Tuesday, February 12, 2008

Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI

SEORANG daripada lima penduduk Malaysia berisiko tinggi mengalami tekanan perasaan yang mendedahkan mereka kepada masalah mental peringkat awal jika dibiarkan. Gejala berkenaan yang majoritinya berpunca daripada amalan pemakanan dan gaya hidup banyak melanda masyarakat di peringkat usia 25 hingga 45 tahun. Lebih memburukkan keadaan, gejala itu menyerang golongan profesional termasuk doktor dan pengamal perubatan, arkitek, jurutera serta akauntan.Menurut data daripada kajian yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tahun lalu, dua daripada 10 penduduk atau satu daripada lima penduduk Malaysia terdedah kepada risiko stres. Antara jalan keluar kepada penyelesaian ini adalah bercuti. Ini kerana percutian boleh membantu menghilangkan seketika tekanan yang selalunya
diperoleh daripada pekerjaan dan kesesakan lalu lintas.Namun begitu, adakah percutian itu benar-benar boleh menangani stres atau menambahkan bebanan tekanan yang sedia ada.
Terdapat satu kenyataan iaitu apabila merancang untuk pergi bercuti, ambillah waktu sehingga 10 hari. Jangka waktu ini akan memberi anda rasa relaks sepenuhnya.Percutian yang pendek bukannya tidak berfaedah tetapi persekitaran yang baharu akan meningkatkan stres kerana tubuh serta minda memerlukan masa untuk menyesuaikan keadaan.Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia UKM, Rozeliza Murni Abdul Rahman berkata, reaksi tangani stres adalah unik bagi setiap individu.Menurutnya, bagaimana menangani stres adalah bergantung kepada bagaimana individu menerima dirinya dan kekuatan untuk mengawalnya.''Sekiranya percutian merupakan jalan keluar kepada cara tangani stres,
ia turut bergantung kepada individu dan keadaan pada waktu itu.''Ada individu walaupun bercuti tetap akan membuat kerja-kerja lain, mereka tidak tahu duduk diam kerana telah terbiasa dengan kerja yang dibebankan."Malah bilangan cuti yang lama akan menyeksakan mereka kerana memikirkan kerja-kerja yang terbengkalai di pejabat,'' katanya.Menurutnya, tetapi keadaan mungkin benar jika seseorang itu pergi bercuti, jauh dari kediaman atau hiruk pikuk bandar, di tempat yang sunyi dan betul-betul terpencil.''Ini mungkin akan mengurangkan stres, tetapi memerlukan cuti yang agak lama kerana minda dan tubuh harus menyesuaikan dengan keadaan di sana, jika tidak akan meningkatkan tekanan kerana banyak perkara baru yang terpaksa dilalui,'' katanya.Tambah beliau, apa yang penting mengenai bilangan cuti yang diambil bagi menangani stres ialah kualiti percutian itu.''Untuk relaks, biarlah berkualiti dan bukannya kuantiti. Walaupun dua hari cuti tetapi dimanfaatkan dengan relaks sepenuhnya, ia sudah memadai untuk memulakan tugas di hari ketiga.

''Tetapi, keadaan akan berubah apabila cuti itu dipenuhi dengan aktiviti yang meletihkan seperti perjalanan pergi balik, kesukaran menyesuaikan diri dengan tempat baru, makanan yang tidak sesuai atau berlaku perkara yang tidak diingini, ia akan menambahkan stres yang sedia ada,'' jelasnya.Justeru itu, ujarnya, manfaatkan percutian walaupun berapa bilangannya, sama ada kurang daripada 10 hari atau lebih dengan perkara yang berkualiti supaya stres daripada tugasan harian dapat dihilangkan seketika dan relaks sepenuhnya.

Tanda amaran stres

  • Gejala fizikal

Degupan jantung yang cepat, banyak berpeluh, terasa loya, bernafas
kencang, cirit-birit dan terasa hendak membuang air kecil, sejuk kaki
tangan, selera makan berubah, gangguan seks, sakit-sakit badan yang
tidak jelas puncanya, lelah, sakit kepala dan timbul ruam.

  • Gejala mental

Berasa hilang kawalan atau ditenggelami peristiwa yang berlaku, risau
dan bimbang, gagal menumpukan perhatian atau membuat keputusan, rasa
tidak sihat, sukar tidur, keinginan seks menurun, amat letih, minum
lebih banyak alkohol dan semakin kuat merokok, perubahan perasaan atau
fikiran seperti kemurungan, kekecewaan, sikap bermusuhan, rasa tidak
berdaya dan kegelisahan.

Kesan stres terhadap kesihatan

Darah tinggi, lelah, masalah kulit yang semakin teruk seperti jerawat,
psoriasis, ekzema, serangan jantung, sinus atau resdung, hilang fungsi
seksual dan pembiakan, strok, masalah berat badan, gangguan tidur,
cirit-birit atau sembelit, migrain, gangguan kebimbangan, ulser perut,
sakit kepala, kemurungan.

Menangani stres

* Hidroterapi boleh membantu mengurangkan kadar dengutan jantung yang
kadang kala boleh menyebabkan stres. Cuba mandi dengan air sejuk bagi
mengimbangi metabolisme. Semasa anda mandi, biarkan aliran air mengalir
di sebelah kanan tangan. Kemudian, barulah dibasahkan di bahagian
belakang badan. Semasa melakukan ini, pastikan air mengalir di bahu
kanan dan barulah di sebelah kiri.

* Bersenam 20 minit setiap sesi, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu
dapat meningkatkan kesihatan fizikal dan emosi.

* Ubah suai persekitaran anda untuk menyingkirkan pencetus tekanan.
Pilih persekitaran selesa dan bersesuaian diri anda.

* Menguap boleh membantu anda relaks dengan meregangkan otot-otot,
meningkatkan pengambilan oksigen dan menghilangkan tekanan.

* Penggunaan minyak bunga lavender di seluruh badan selepas mandi boleh
membantu mengurangkan tekanan. Ini kerana agen aktif minyak lavender
akan meresap di dalam kulit dan hidung sekali gus menghilangkan stres.

* Kekacang juga adalan sumber vitamin dan mineral yang menyokong sistem
kardiovaskular. Memakannya membantu mengurangkan stres dan meningkatkan
penumpuan.

* Terimalah diri anda seadanya dan cuba menyukai diri sendiri. Realistik
terhadap keupayaan anda dan tetapkan matlamat yang boleh dicapai. Cuba
lakukan sesuatu yang menimbulkan kepuasan.

* Seimbangkan masa kerja dan bermain. Peruntukan masa untuk hobi dan
rekreasi.

* Rehat dan tenangkan diri anda dengan mandi wap, berurut, meditasi,
membayangkan pemandangan yang menenang dan merehatkan serta, menarik
nafas panjang akan merehatkan otot-otot.

* Amalkan gaya hidup sihat seperti pemakanan sihat dan tidur yang cukup.

* Dapatkan sokongan dan bantuan sebelum tenggelam punca. Kongsi masalah
dan perasaan dengan seseorang yang boleh dipercayai seperti pasangan
hidup, ahli keluarga, rakan-rakan dan pemimpin agama.

* Tingkatkan kemahiran anda. Bersedialah untuk membuat sesuatu keputusan
dan menangani masalah dengan berkesan. Lengkapkan diri anda bagi
menjawat pekerjaan atau kerjaya yang memuaskan.

* Luahkan perasaan anda dengan menangis atau ketawa semahunya.

* Uruskan masa dengan baik. Senaraikan perkara yang perlu dilakukan
mengikut kepentingan.

* Elakkan menerima kerja yang terlalu banyak.

* Bijaksana dalam membuat keputusan. Pertimbangkan baik buruknya sebelum
memutuskan sesuatu.

* Belajar menerima kelemahan diri. Jangan gusar mengenai perkara di luar
kawalan. Berfikir secara positif dan renungkan kembali pencapaian dan
kejayaan dimiliki apabila berasa tertekan.

* Bina silaturahim yang baik dengan ahli keluarga dan rakan-rakan.
Biarkan diri anda berasa disayangi, dihargai, dihormati dan mempunyai
tempat mengadu. Jujur dan bertimbang rasa dalam perhubungan.

About the author

Aku Khairul Amran. Irul, Itu nama yang orang panggil aku sejak Aku kecik lagi. Dah besar ni orang suka-suka je panggil Amran..

0 comments: