.

10 January 2008

Syamsiah atau Kamariah - Mana satu pilihan kalbu?

0
Thursday, January 10, 2008
Syamsiah atau Kamariah - Mana satu pilihan kalbu?

Seorang lelaki berbadan kurus tinggi lampai bernama Alif menghadapi
dilema. Yang mana satu harus dipilih. Syamsiah atau Kamariah? Pilih
salah satu atau pilih kedua-duanya sekali? Dalam hidupnya, kedua-duanya
amat bermakna dan bererti. Dengan lain perkataan, kedua-duanya sama
penting dalam mewarnai kehidupan Alif.

Sejak pagi lagi, hinggalah ke tengah hari dan petang, Syamsiah sering
mendampinginya. Alif tidak kesunyian lagi. Hidupnya tidak pernah berada
dalam kegelapan sejak kedatangan Syamsiah. Ya, dia benar-benar menyinari
kehidupan Alif.

Dengan bantuan Syamsiah, Alif kini begitu mudah menentukan waktu solat
lima waktu. Dengan kata lain, Syamsiahlah tempat Alif bertanya bila
masuk waktu solat Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak.

Kebiasaannya, Syamsiah memang tidak pernah jemu menemani Alif ke mana
sahaja di waktu siang. Memang jarang sekali Syamsiah tidak kelihatan
bersama Alif di waktu-waktu begini. Mungkin sesekali ada ketikanya,
Syamsiah tidak kelihatan. Mungkin untuk menguji Alif barangkali
terutamanya ketika awan mendung atau ketika hujan turun dengan lebatnya.

Alif juga hairan, apabila senja menjelang, Syamsiah mula menjauhkan diri
daripadanya. Perlahan-lahan dia beredar meninggalkan Alif. Ke mana dia
pergi? Sebaliknya, sebaik sahaja dia pergi, Kamariah mula datang menyapa
Alif.

Badariah
Berbeza dengan Syamsiah, perwatakan Kamariah lain daripada yang lain.
Tidak sama dengan Syamsiah. Ya memang tidak serupa antara keduanya.
Kamariah biasanya kelihatan pada sebelah malam. Namun, bukan setiap
malam Kamariah datang menjenguk Alif.

Biasanya Kamariah tidak muncul di awal atau penghujung bulan. Dia datang
dengan ceria ketika pertengahan bulan.

Kamariah selalunya amat manja ketika pertengahan bulan. Wajahnya memang
ceria dan di situlah mungkin terletaknya aura Kamariah yang menjadi
tarikan ramai. Bila tiba saat-saat manja dan cerianya, dia lebih suka
dipanggil Badariah. Itulah nama timangannya.

Kalau Syamsiah boleh membantu dalam menentukan masuknya waktu Solat,
Kamariah apa kurangnya. Dia membantu Alif menentukan tarikh bila
sepatutnya dia berpuasa Ramadan dan bila pula sepatutnya berhariraya.

Kedatangan Kamariah pada awal Ramadan dan Syawal memang ditunggu-tunggu.
Ada kalanya, Kamariah mudah dilihat kemunculannya. Selalunya, Kamariah
muncul tetapi ramai yang tidak menyedarinya termasuklah Alif.

Menanti kehadiran Kamariah di awal Ramadan dan awal Syawal memang
sesuatu yang cukup mendebarkan. Memang wajah Kamariah ketika itu begitu
berhargai. Wajahnya hanya mampu dilihat dalam tempoh beberapa detik
sahaja . Itupun tidak sampai tujuh peratus daripada wajah
keseluruhannya. Di saat itu Kamariah lebih suka menggunakan nama samaran
Hilal sebagai pengganti diri.

Antara Syamsiah dan Kamariah banyak perbezaannya. Alif hingga kini masih
gagal untuk merenung mata Syamsiah untuk jangka masa yang lama. Paling
lama pun setakat dua tiga saat sahaja. Itupun sudah dianggap lama. Amat
tajam mata Syamsiah.

Sebaliknya, Alif boleh merenung wajah Kamariah berjam-jam untuk mencari
ilham. Semakin lama bertentang mata dengan wajah Kamariah semakin banyak
ilham mendatang.

Tetapi, ada juga sifat yang sama pada mereka berdua. Kedua-duanya amat
diminati ramai. Bukan sahaja kepada manusia lain tapi juga di kalangan
haiwan. Ayam di kampung akan bersahutan berkokok menyambut kehadiran
Syamsiah di awal dinihari. Burung pungguk pula seringkali menanti di
celah-celah daun bilakah wajah Kamariah akan menjelma.

Alif semakin menghadapi dilema. Terbaru, pada 1 Januari 2008 lalu,
apabila beliau memperkenalkan Syamsiah kepada khalayak ramai, sambutan
sungguh meriah.

Pelbagai acara gilang gemilang diadakan di serata pelosok rantau. Hampir
semua stesen televisyen mengadakan siaran secara langsung menyambut
ulang tahun kelahiran Syamsiah.

Ini sungguh berbeza dengan apa yang berlaku senja petang semalam. Ketika
masuknya tabir 1 Muharam 1429, sambutan ulang tahun penghijrahan
Kamariah tidak seperti ulang tahun kelahiran Syamsiah. Kurang meriah,
kurang liputan dan banyak lagi kekurangan kegemilangannya. Malah lebih
menyedihkan ada juga yang tidak perasan kehadirannya.

Bertuah
Itulah sebuah cerita ringkas dilema seorang lelaki bernama Alif yang
menggambarkan secara simbolik suasana sambutan tahun baru masihi dan
tahun baru hijrah. Syamsiah sebenarnya bukanlah seorang wanita.

Perkataan syams bermaksud matahari dan sanah bererti tahun. Oleh itu
sanah syamsiah bermakna tahun matahari. Dalam konteks ini tahun masihi
2008 menggunakan sistem matahari dalam pengiraan bilangan hari, minggu,
bulan dan tahunnya.

Begitu juga halnya dengan Kamariah. Kamariah bukanlah seorang wanita.
Perkataan kamar atau qamar membawa makna bulan dan sanah bererti tahun.
Oleh itu sanah kamariah atau sanah qamariah membawa maksud tahun matahari.

Dalam hal ini, tahun Hijrah 1429 menggunakan sistem bulan dalam
pengiraan bilangan hari, minggu, bulan dan tahunnya.

Alif pula biasanya memang sering digunakan sebagai nama seorang lelaki
di Malaysia. Alif seperti mana kita maklum adalah huruf pertama dalam
tulisan Arab atau tulisan Jawi. Sebab itu ia digambarkan kurus tinggi
bersesuaian dengan bentuk huruf itu.

Mengikut peraturan tajwid, huruf Alif adalah suatu huruf yang
berkecuali. Ia bukan dalam kategori alif lam qamariah atau alif lam
syamsiah.

Alif lam kamariah mempunyai 14 huruf dan alif lam syamsiah juga
mempunyai 14 huruf. Oleh itu untuk memudahkan para pelajar
mengingatinya, cerita pendek di atas boleh digunakan di dalam kelas.

Jadi, kita bertuah kerana dalam tempoh hanya 10 hari, kita dapat
merayakan dua kali tahun baru iaitu tahun baru 2008M dan tahun baru
1429H. Selain itu, jangan lupa bahawa, hujung tahun 2008 ini iaitu pada
29 Disember sekali lagi kita akan dipertemukan dengan tahun baru 1410
Hijrah dengan izin-Nya, insya-Allah.

Info berkaitan
* Perkataan yaum dan al-yaum (dari kata akar ya-wau-mim) yang bermakna
hari disebut sebanyak 349 kali dalam al-Quran al-Karim.

lJika dicampurkan dengan perkataan yaumukum (dari kata akar ya-wau-mim)
yang bermakna hari kamu semua disebut sebanyak lima kali menjadikan
jumlahnya 354 kali. Ini bersamaan dengan tahun Hijrah (354 hari).

lJika dicampurkan dengan perkataan yauman (dari kata akar ya-wau-mim)
yang bermakna hari (dalam bentuk mansub) disebut sebanyak 16 kali
menjadikan jumlahnya 365 kali. Ini bersamaan dengan tahun Masihi (365 hari).

* As-habul Kahfi (sekumpulan pemuda beriman yang tinggal dalam gua)
telah tidur selama 309 tahun. Dalam al-Quran bilangan 309 disebut
(thalatha mi atin siniina wazdaaduu tis'a) yang bermaksud 300 tahun dan
mereka menambah sembilan. Setelah dibuat kajian terperinci didapati
bahawa bilangan 300 tahun Masihi bersamaan dengan bilangan 309 tahun
Hijrah. Sila rujuk Surah al-Kahfi ayat ke 25.

* Hadis Nabi bermaksud, "Jika matahari diletakkan di bahu kananku dan
bulan di bahu kiriku sekalipun, aku tidak akan berhenti daripada
menyebarkan dakwah sehinggalah Allah memerintahkan berbuat demikian atau
aku binasa kerananya".

* Labah-labah membawa banyak pengertian yang mendalam. Semasa berhijrah,
ia bertindak sebagai penyelamat Nabi dan

Saidina Ab

About the author

Aku Khairul Amran. Irul, Itu nama yang orang panggil aku sejak Aku kecik lagi. Dah besar ni orang suka-suka je panggil Amran..

0 comments: